|
11/11/2008
Utusan
Malaysia
KOTA BHARU 10 Nov. - Pajak gadai Islam, Ar-Rahn
milik kerajaan negeri sehingga kini telah
membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kepada
para pelanggannya berikutan kehilangan barangan
kemas mereka di premis berkenaan pada 9 Ogos
lalu.
Pengurus Besar Permodalan Kelantan Berhad
(PKB), Mohd. Sabri Abdullah berkata, baki RM7
juta nilai kehilangan itu juga dijangka akan
dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang
Disember ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menyiapkan
kesemua dokumen berkaitan dengan urusan
pembayaran balik yang melibatkan kira-kira
7,000 resit transaksi pelanggannya.
''PKB akan membayar sepenuhnya baki itu,
kira-kira RM2 juta melalui dana syarikat,
manakala Takaful Malaysia hari ini telah
menyerahkan pampasan sebanyak RM5 juta daripada
jumlah barangan kemas yang diinsuranskan,''
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas penyerahan pampasan itu oleh Pengurus
Besar Jualan dan Pemasaran Takaful Malaysia,
Abdul Khalid Salleh kepada Menteri Besar, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim di
sini hari ini.
Pada awal pagi 9 Ogos lalu, empat lelaki
bertopeng memecah masuk dan melarikan barangan
kemas dari premis Ar-Rahn cawangan Kota Bharu
1, di Jalan Temenggung di sini. Ar-Rahn
merupakan syarikat subsidari PKB.
Sementara itu, untuk perancangan masa hadapan,
Nik Abdul Aziz meminta PKB dan Takaful Malaysia
supaya terus memperkemaskan perkongsian
strategik termasuk meningkatkan kadar insurans
barangan kemas di Ar-Rahn.
Cadangan itu disambut baik oleh Abdul Khalid
yang akan memperincikan di dalam perbincangan
antara pihaknya dan PKB.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, selain
Ar-Rahn Kelantan, pihaknya kini sedang dalam
proses untuk membayar pampasan insurans kepada
kedai pajak gadai Islam Bank Rakyat cawangan
Ulu Tiram, Johor yang turut dipecah masuk
menjelang Aidilfitri lalu.
Katanya, kedua-duanya merupakan kes pertama
melibatkan pembayaran pampasan insurans pajak
gadai Islam sejak Takaful Malaysia beroperasi
lebih 20 tahun lalu.
''Secara kebetulan, modus operandi yang
digunakan oleh kedua-dua sindiket itu di Kota
Bharu dan Ulu Tiram adalah hampir sama termasuk
jumlah barangan kemas yang diambil, cara
dinding ditebuk dan kedai dipecah masuk,''
katanya.
|