Sayangemas

Galak Pajak Gadai Islam

  
17 MAY 2008
HARIAN METRO

RAKYAT Management Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), mensasarkan 15 rangkaian francais Ar-Rahnu X-Change dalam tempoh tiga tahun bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pajak gadai berteraskan Islam.

Ar-Rahnu adalah perniagaan menawarkan pinjaman tanpa faedah (kadar upah simpan rendah), jumlah gadaian tinggi dan tempoh gadaian fleksibel.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata tahap kesedaran orang ramai terhadap sistem pajak gadai Islam diperkenalkan itu membolehkan mereka memanfaatkannya untuk mengatasi masalah kewangan dihadapi.

“Jika dulu pajak gadai sering dipandang negatif, kini konsep Ar-Rahnu X-Change yang diperkenalkan membolehkan pelanggan yang ingin modal segera membuat pinjaman secara lebih berhemah tanpa dibebani unsur penipuan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran rangkaian Ar-Rahnu keempat di Pusat Bandar Sri Gombak, Selangor, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad; Ahli Majlis Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Rahim Baba dan Pengerusi Koperasi Iman, Mohd Sharifudin Yusop.

Menurutnya, sehingga 30 April lalu jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM461 juta dan ia melebihi 174 peratus bajet pengeluaran disasarkan iaitu RM168 juta.

Berdasarkan perkembangan berkenaan, katanya, rangkaian Ar-Rahnu dijangka terus berkembang di beberapa lokasi strategik sekitar Lembah Klang, utara Semenanjung dan Pantai Timur.

“Bulan depan, sebuah rangkaian Ar-Rahnu akan dibuka di Medan Tuanku, Kuala Lumpur yang akan diuruskan Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Bhd,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi rangkaian Ar-Rahnu dijangka dibuka pada Ogos depan di Pokok Sena, Kedah dan diuruskan Koperasi Kementerian Kesihatan Negeri Kedah Bhd.

Kamaruzaman berkata, Ar-Rahnu X-Change Sri Gombak diuruskan Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Bhd selaku francaisi mengunjurkan purata pengeluaran jumlah pembiayaan RM500,000 setiap bulan dengan mensasarkan baki pinjaman berjumlah RM6 juta untuk tahun pertama operasinya.

Perniagaan francais berkenaan adalah satu daripada program Bank Rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sosialnya bagi membangunkan perniagaan koperasi secara berterusan.

Menerusi skim francais berkenaan Bank Rakyat memindahkan pengalaman dan kepakaran operasi Ar-Rahnu kepada koperasi yang berminat menceburi perniagaan berkenaan.

 

   Back to top     |      Print this page   |     Bookmark this page

   Navigation

   Harga Emas

Harga Emas Malaysia

[Most Recent Quotes from www.kitco.com]