Sayangemas

Gadai Emas RM18 Juta Lesap

  

HARIAN METRO

KOTA BHARU: Empat penjenayah professional bertopeng memecah masuk sebuah kedai pajak gadai Islam, Ar-Rahn di Jalan Tengku Chik, dekat sini, tengah malam kelmarin sebelum melarikan pelbagai barangan kemas yang disimpan dalam 238 peti simpanan barangan kemas bernilai kira-kira RM18 juta.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, penjenayah terbabit memecah masuk premis berkenaan dengan memanjat bumbung bangunan tiga tingkat itu, menyusup masuk melalui lubang laluan angin yang ditebuk sebelum melarikan barangan kemas berkenaan yang disimpan dalam bilik kebal di tingkat satu bangunan itu.

Bagaimanapun, penjenayah terbabit tidak sempat melarikan wang tunai RM390,000 apabila gagal membuka peti simpanan wang tunai dalam bangunan sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata kejadian itu hanya disedari syarikat kawalan keselamatan di Kuala Lumpur apabila mendapati sistem penggera premis berkenaan tidak berfungsi jam 3 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada pengurus kedai pajak gadai berkenaan dan polis untuk tindakan lanjut.


Beliau berkata, sebaik menerima laporan kejadian itu jam 3 pagi semalam, sepasukan anggotanya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit mula memasuki premis berkenaan pada jam 12.09 tengah malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum memotong wayar CCTV itu sebaik menceroboh masuk dan melarikan simpanan barangan kemas berkenaan.

Katanya, siasatan awal juga mendapati kumpulan penjenayah itu dipercayai profesional kerana melakukan perbuatan itu dengan teliti dan terancang dan kes berkenaan dikesan pertama kali berlaku di negeri ini.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, kami dapat mengesan empat penjenayah terbabit sudah lebih awal menceroboh masuk dalam premis berkenaan.

“Keseluruhan barang kemas dilarikan bernilai kira-kira RM18 juta dan kami menjalankan siasatan rapi berkaitan kes rompakan itu termasuk sama ada membabitkan orang dalam syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kedai pajak gadai itu milik Kumpulan Permodalan Kelantan Berhad (KPKB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kedai pajak gadai berkenaan memang mempunyai pengawal keselamatan tetapi hanya bertugas pada hari bekerja.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan.

“Setakat ini, kumpulan penjenayah itu dianggap profesional kerana melakukan rompakan dengan taktik canggih iaitu memanjat bumbung dan memasukinya melalui lubang angin sebelum berjaya memecah masuk pintu kebal dan melarikan pelbagai simpanan barangan kemas.” katanya.

 

   Back to top     |      Print this page   |     Bookmark this page

   Navigation

   Harga Emas

Harga Emas Malaysia

[Most Recent Quotes from www.kitco.com]